Followers

Enam Penuntut Kuin Kesal

Wednesday, July 20, 2011

ALOR SETAR - Enam penuntut Kolej Universiti Insaniah (Kuin) yang digantung pengajian setelah terbabit dalam penganjuran demonstrasi di institusi itu pada 1 April lalu kesal dengan Jawatankuasa Tatatertib universiti yang menolak permohonan rayuan mereka dan mengekalkan keputusan asal berkuat kuasa serta-merta melalui satu surat rasmi bertarikh 6 Julai.

Bekas Presiden Majlis Perwakilan Pelajar (MPM) Kuin, Mohd Faiz Mohd Arshad berkata, pihaknya kecewa dengan sikap Jawatankuasa Tatatertib Kuin diketuai Rektornya, Profesor Datuk Dr Jamil Osman menolak rayuan keenam-enam pelajar terbabit termasuknya walaupun institusi itu baru pertama kali berhadapan dengan kes demonstrasi dianjurkan penuntutnya.

Menurutnya, keputusan Kuin mengekalkan hukuman gantung dua semester pengajian terhadap lima mahasiswa terlibat dan denda RM100 terhadap Mohamad Farhan Mohamad Baharin yang baru menamatkan pengajian tidak wajar dan seolah-olah menunjukkan kesalahan dilakukan mereka amat berat.

“Saya hairan dengan keputusan Kuin seolah-olah menghukum kami dan bukannya memberi pengajaran, sedangkan tindakan demonstrasi yang dilakukan hanya untuk menyuarakan pandangan mahasiswa.

“Di Universiti Malaya, pihak pengurusan institusi itu hanya memberikan amaran kepada pelajar yang menyertai demonstrasi membantah keputusan pilihan raya kampus sebelum ini dan ianya dibuat walaupun bukan pertama kali berlaku di sana.

“Ini menunjukkan pengurusan Kuin bersikap diktator dan tidak menghargai jasa kami sebagai wakil pelajar institusi itu selama ini,” katanya pada sidang media di sini semalam.

Turut hadir ialah bekas Pengerusi Biro Penerangan dan Informasi MPM Kuin, Mohd Aiman Abdul Razak dan bekas Naib Presiden MPM Kuin, Mohd Azlan Mat Zain yang turut dikekalkan tindakan digantung pengajian dua semester oleh Jawatankuasa Tatatertib institusi itu.

Mohd Faiz berkata, susulan permohonan rayuan ditolak pihaknya bakal mengambil tindakan undang-undang terhadap Kuin sekiranya usaha mendesak pengurusan institusi itu menggugurkan tindakan tatatertib secara terbuka selepas ini tidak mendatangkan hasil.

Menurutnya, pengurusan Kuin gagal melaksanakan tindakan tatatertib mengikut prosedur sebenar apabila tiada saksi pembelaan dan pendakwaan yang dipanggil di peringkat Jawatankuasa Tatatertib untuk memberi keterangan.

“Tindakan itu bertentangan dengan Kaedah 48 dan Kaedah 49 Acara Tatatertib Universiti 2007 apabila Jawatankuasa Tatatertib dikehendaki memanggil semua tertuduh untuk dihadapkan ke jawatankuasa itu terlebih dahulu sebelum meminta surat tunjuk sebab daripada mereka selain memastikan saksi pembelaan dan pendakwaan dipanggil untuk membantu siasatan.

“Ini menunjukkan satu proses tatatertib yang bercelaru telah dilaksanakan dan tidak mengikut budi bicara sewajarnya,” katanya.

Susulan keputusan penolakan rayuan, Mohd Faiz menegaskan kebenaran keenam-enam mahasiswa terlibat untuk memasuki kawasan Kuin, kebenaran bertanding dalam pilihan raya kampus, kebenaran menjadi ahli dan persatuan berkaitan institusi, penerimaan sebarang anugerah akademik dan bukan akademik dari Kuin serta jawatan MPM ditarik balik secara automatik.

“Empat alasan penghakiman yang diberikan iaitu kesalahan dilakukan disedari pelaku, tindakan pelaku bukan didesak, pelaku gagal menunjukkan kekesalan sewaktu tempoh permohonan rayuan dibuat dan hukuman merupakan satu taklik untuk memberi pengajaran kepada pelaku tidak masuk akal dan menutup isu sebenar ditimbulkan kami.

“Kami juga mendapatkan sokongan padu beberapa pertubuhan bukan kerajaan dan persatuan mahasiswa yang bersimpati dengan nasib kami dan berjanji mempertahankan hak kami sehingga keadilan dicapai,” katanya.

Sebelum ini, :Sinar Harian :melaporkan enam penuntut Kuin yang digantung pada 26 Mei lalu oleh Jawatankuasa Tatatertib institusi diminta menyambung pelajaran ke universiti lain sekiranya enggan menerima keputusan tindakan tatatertib.

Azizan berkata, tindakan itu berlandaskan perlembagaan universiti memandangkan semua penuntut terlibat terbukti melakukan perkara bercanggah undang-undang setelah siasatan dilakukan pentadbiran universiti.

0 orang mengarut:

Post a Comment