Followers

7 Sahabat Paling Banyak Meriwayatkan Hadith

Monday, March 19, 2012


Ibnu Hajar al-Asqalani dalam kitabnya Al-Ishabah fi Tamyiz ash-Shahabah mentakrifkan sahabat sebagai

"Ash-Shahabi (sahabat) ialah orang yang bertemu dengan Rasulullah SAW, beriman kepada beliau dan meninggal dalam keadaan Islam”

Di dalam ilmu rijal hadith, sahabat Nabi s.a.w semuanya diiktiraf sebagai thiqah (dipercayai). Secara tidak langsung, sahabat adalah antara golongan pertama yang menerima hadith dari Nabi s.a.w secara terus dan meriwayatkannya kepada generasi seterusnya iaitu tabiin.

Di sini, penulis ingin berkongsi sedikit maklumat tentang perawi/sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadith Nabi s.a.w. Didalam buku Tadrib ar-Rawi fi Syarh Taqrib an-Nawawi karya Imam As-Suyuti (911H), disebutkan 7 orang sahabat yang paling banyak meriwayatkan hadith:

1) Abu Hurairah r.a

Beliau meriwayatkan 5374 hadith. Abu Hurairah seorang perawi hadith yang terkenal dan antara sahabat yang rapat dengan Rasulullah s.a.w. Sebanyak 325 hadith yang diriwayatkan oleh Abu Hurairah disepakati oleh Imam Bukhari (256H) dan Imam Muslim (261H). Manakala hadis yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari sendiri sebanyak 93 hadith dan Imam Muslim 189 hadith.

2) Ibnu Umar r.a

Beliau meriwayatkan 2630 hadith, iaitu kedua terbanyak selepas Abu Hurairah. Ibnu Umar atau nama sebenarnya Abdullah bin Umar adalah anak kepada Khalifah yang kedua iaitu Umar bin al-Khattab. Ibnu Umar adalah seorang yang sangat berhati-hati dalam meriwayatkan hadith. Antara periwayat di kalangan tabiin yang paling banyak mengambil hadith daripadanya ialah Salim dan Nafi’.

3) Anas bin Malik r.a

Anas bin Malik r.a telah meriwayatkan 2286 hadith Nabi saw. Beliau adalah anak kepada Ummu Sulaym. Sebanyak 168 hadith yang dari Anas bin Malik diriwayatkan oleh Bukhari dan Muslim.

4) Aisyah r.a

Aisyah r.a, isteri Rasulullah saw yang digelar Ummul Mu’minin. Aisyah r.a telah meriwayatkan sebanyak 2210 hadith.

5) Ibnu Abbas r.a

Ibnu Abbas atau Abdullah bin Abbas telah meriwayatkan sebanyak 1660 hadith. Ketika Rasulullah saw wafat, Ibnu Abbas berumur 16 tahun. Rasulullah saw pernah mendoakan beliau agar diberi pemahaman terhadap Al-Quran. Banyak riwayat tentang tafsir diambil dari Ibnu Abbas, selain daripada Ibnu Mas’ud dan Ubai bin Ka’ab. Antara murid-murid beliau yang yang terkenal di Mekah ialah Sa'id bin Jubair, Mujahid, 'Ikrimah bekas sahaya ( maula ) Ibnu Abbas, Tawus bin Kisan al-Yamani dan 'Ata' bin Abu Rabah.

6) Jabir bin Abdullah r.a

Jabir bin Abdullah r.a adalah salah seorang sahabat Rasulullah saw yang tinggal di Madinah dan wafat pada 78H ketika umurnya 94 tahun. Tercatat sebanyak 1540 hadith yang telah diriwayatkan oleh Jabir bin Abdullah r.a.

7) Abu Sa’id al-Khudri r.a

Abu Sa’id al-Khudri adalah orang ketujuh paling banyak meriwayatkan hadith Rasulullah saw. Beliau telah meriwayatkan 1170 hadith. Nama sebenar beliau ialah Sa’ad bin Malik bin Sinan. Antara orang-orang yang banyak mengambil hadith daripadanya ialah anaknya sendiri Aburahman, isterinya Zainab bin Ka’ab bin Ajrad, Abdullah bin Umar, Abdullah bin Abbas, Abu Thufail, Nafi’ dan Ikrimah.

0 orang mengarut:

Post a Comment