Followers

Hebahkan Pertunangan?

Sunday, May 13, 2012
Orang marah bila sebar(hebah) pertunangan. Kata itu salah di sisi Islam dan sebagainya. Orang persoal kenapa saya kata, hukum tidak patut sebar pertunangan itu bukan qat'ie. Saya pula, sentiasa berpegang bahawa, 'menghebahkan pertunangan' itu hukumnya harus. Tidaklah pula digalakkan, dan tidaklah pula jatuh kepada haram.

( أظهروا النكاح وأخفوا الخِطبة )

Terjemahan: (Zahirkanlah pernikahan dan sembunyikanlah pertunangan).

Hadith ini diriwayatkan oleh Ad-Dailami di dalam Musnad Al-Firdaus.
Tetapi ramai yang tidak tahu bahawa hadith ini berstatus dhaif. Sheikh Al-Albani telah menyebutkan sedemikian di dalam kitabnya Silsilah Ad-Dho’ifah(no 2494) dan Dho’if Al-Jami’ Al-Saghir(no 922).

Ramai pula yang tersalah sangka, menyangkakan hadith di atas adalah hadith riwayat Ahmad daripada Abdullah ibn Zubair RA. Sedangkan, hadith riwayat Ahmad daripada Abdullah Ibn Zubair RA yang sebenar, yang dihassankan oleh Sheikh Al-Albani dalam kitabnya Irwa’ Al-Ghalil, hanya terdapat ayat:
"Iklankanlah pernikahan."

Tanpa menyebut pun: "Dan sembunyikanlah pertunangan."

Jadi, jelas bahawa, hadith tersebut do'if. Jelas kita nampak, yang dihassankan Sheikh Al-Bani pun hanyalah ayat: "Iklankanlah pernikahan." Al-Bani tidak pula menghassankan ayat: "Dan sembunyikanlah pertunangan."
Jelas di sini ya?

Orang akan kata pada saya, hadith do'if boleh juga pakai buat amalan. Betul. Tetapi yang saya belajar, hadith do'if tidak boleh dipakai untuk menetapkan hujah. Jadi, tak bolehlah marah orang yang sebarkan pertunangan, dan berkata bahawa itu bertentangan dengan Islam.

Maka pada saya, hukum menghebahkan pertunangan adalah harus. Buat tak mengapa, tak buat pun tak ada masalah. Ikut keadaan orang. Ada orang, dia perlu hebahkan pertunangannya. Takut ada orang lain mengorat, takut ada kawan pendam perasaan pada tunangnya lama sangat nanti sampai mereng bunuh diri ke apa ke bila tahu rupanya dia pendam perasaan lama-lama dekat tunang kawan dia, dan macam-macam lagi. Ada orang pula, dia rasa dia perlu sembunyikan pertunangannya, kerana takut hasad dengki orang dan sebagainya.

Jadi, benda ini(sebar pertunangan) adalah muhtamalah(optional, pilihan).
Jangan kita selar yang hebah. Jangan kita selar yang tidak hebah.

Menguatkan lagi pandangan saya ini adalah fatwa daripada ahli majlsi fatwa Kuwait, Dr Ahmad Al-Hajji Al-Kurdi, yang menyatakan:
"Maka tidak ada halangan dalam mengisytiharkan pertunangan secara syarak, bahkan ianya adalah lebih utama(untuk diisytiharkan), kerana (hukum) asal bagi tiap-tiap sesuatu adalah harus, dan tidak datang nas yang menghalang (dari berbuat sedemikian)."

Rujukan: http://www.islamic-fatwa.com/fatawa/index.php?module=fatwa&id=4604

Dan begitulah juga fatwa di laman Islamqa yang diketuai Sheikh Muhammad Salih Al-Munajjid:
"Mengenai perbuatan sebahagian kaum Muslimin yang mengiklankan pertunangan serta menzahirkan kegembiraan(dengan mengadakan majlis),serta perbuatan memberi hadiah, adalah merupakan adat yang harus pada asalnya,dan tidak diharamkan ia, melainkan perbuatan-perbuatan yang diberi petunjuk oleh syarak akan keharamannya."

Rujukan: http://www.islamqa.com/ar/ref/20069

Orang melayu ini, dia adabnya lebih. Sebab itu dia lebih cenderung kepada sembunyikan pertunangan. Takut tak jadi katanya. Takut orang dengki katanya. Baik, itu satu alasan yang baik. Tetapi itu tidaklah menukar hukum yang sebenar. Akhirnya, terpulang kepada tuan punya tubuh untuk menilai keadaan diri sendiri bukan? ^^
Bukan orang lain berhak nilai benda itu untuk tuan punya badan yang hebahkan/tak nak hebahkan.

Kita janganlah sibuk compare mana yang lebih baik. Hebah lebih baik, atau tak hebah lebih baik.
Ada situasi hebah lebih baik daripada tidak hebah.
Ada situasi, tidak hebah lebih baik daripada hebah.
Bila bendanya tidak qat'ie, tak bolehlah kita marah kepada orang yang pilih selain apa pilihan kita.
Kecualilah, pilihan orang itu terkeluar daripada landasan syara'.

Saya ada kemungkinan silap di dalam hal ini,
Saya mohon ada yang memberikan teguran jika saya silap.
Actually, saya faham beginilah. Beginilah pegangan saya.
Jadi kalau ada yang benar-benar boleh berikan dalil daripada Al-Quran dan As-Sunnah yang jelas, yang memang qat'ie, silakan. Semoga ini mencerahkan keadaan dan membersihkan pandangan.

Kesimpulan,
saya berpandangan hukum menyebarkan pertunangan pada saya adalah muhtamalah(optional, pilihan), sebar bagi siapa yang rasa keadaannya patut sebarkan. Sembunyikan, bagi sesiapa yang rasa keadaannya patut sembunyikan. 

Sekian.

~ seorang hamba,
Hilal Asyraf
Pelajar Tahun Akhir,
Pengkhususan Usuluddin,
University of Yarmouk,
Irbid,
Jordan.
http://langitilahi.com
http://www.facebook.com/pages/Hilal-AsyrafOfficial/245964752094643


0 orang mengarut:

Post a Comment