ALOR SETAR - Kolej Universiti Insaniah (Kuin) mempertahankan keputusan jawatankuasa tatatertib institusi itu menolak rayuan enam penuntut yang digantung pengajian selama dua semester dan mengekalkan keputusan yang dibuat pada 26 Mei lalu.
Rektornya, Profesor Datuk Dr Jamil Osman berkata, tindakan itu dibuat berdasarkan keperluan Kuin dan kesemua penuntut yang diambil tindakan seharusnya menerima hukuman itu dengan hati terbuka.
“Kuin ambil tindakan yang sewajarnya, justeru kesemua penuntut terlibat perlu terima (keputusan dibuat),” katanya sewaktu dihubungi Sinar Harian semalam.
:Bagaimanapun, Dr Jamil enggan mengulas lanjut alasan keputusan permohonan rayuan enam penuntut terbabit ditolak.
“Tanya mereka (berhubung alasan rayuan ditolak), jangan tanya saya,” katanya.
Sinar Harian sebelum ini melaporkan, lima mahasiswa Kuin digantung satu hingga dua semester pengajian berkuat kuasa Rabu lalu manakala seorang lagi didenda RM100 dan diberikan surat amaran.
Enam mahasiswa yang dikenakan tindakan tata tertib ialah bekas Presiden MPM Kuin, Mohd Faiz Mohd Arshad (digantung dua semester pengajian), bekas Naib Presiden Mohd Azlan Mat Zain (surat amaran dan digantung satu semester), Ahmad Remi Mohd Arof (surat amaran dan digantung satu semester), Mohamad Farhan Mohamad Baharin (surat amaran dan denda RM100), Zukhilatif Marzuki (surat amaran dan digantung satu semester) dan bekas
Pengerusi Biro Penerangan MPM Kuin, Muhamad Aiman Abd Razak (surat amaran dan digantung satu semester).
Pada 11 Januari lalu, hampir 3,000 mahasiswa Kuin mengadakan perhimpunan aman menuntut penjelasan daripada pihak pengurusan kolej mengenai isu-isu berbangkit, yang diadakan di pekarangan Sudut Pidato sebelum berarak memasuki Dewan Sultan Abdul Halim Mu’adzam Shah.
Mahasiswa dan mahasiswi berpakaian serba hitam antaranya membawa sepanduk menyuarakan rasa kecewa, seterusnya mengadakan perjumpaan secara bersemuka di Perhimpunan Mega Mahasiswa, yang turut dihadiri Dr Jamil dan beberapa pensyarah kanan.
Majlis dialog dua jam itu diadakan antara wakil pelajar termasuk pelajar antarabangsa dengan pentadbiran Kuin untuk mencapai kata sepakat dalam beberapa isu yang dibangkitkan.
Pada 1 April pula, lebih 100 mahasiswa Kulliyyah Al-Quran mengadakan perhimpunan aman bagi membantah penempatan Sekolah Bestari di Bangunan Maahad Tahfiz Negeri Kedah.
0 orang mengarut:
Post a Comment