Followers

Kebebasan Bersuara Mahasiswa INSANIAH Di Bawah Kerajaan Negeri

Friday, January 21, 2011
Kolej Universiti Insaniah (Insaniah) yang kelihatan tenang selama ini, tiba-tiba dikejutkan dengan demonstrasi oleh kira-kira dua ribu mahasiswanya. Insaniah adalah sebuah institusi pengajian tinggi milik penuh kerajaan negeri Kedah.

Apabila mahasiswa secara solidariti bangun serentak menyatakan ketidakpuasan hati mereka terhadap beberapa isu, khususnya mengenai isu kebajikan pelajar, maka ia secara tidak langsung semacam mempertikaikan kelemahan pentadbiran kerajaan negeri.

Tapi berlainan pula dengan reaksi oleh Menteri Besar Kedah. “Saya cukup gembira dengan tunjuk perasaan itu dan saya nak latih mereka untuk bercakap dan saya juga berterima kasih kepada mereka,” ujar beliau.

Komen yang diberikan oleh Menteri Besar itu adalah konsisten dengan sikap pemimpin PAS yang menjadi pembangkang di Pusat lebih separuh abad, iaitu memberi kebebasan kepada mahasiswa untuk bersuara menuntut hak.

Bayangkan jika demonstrasi seperti itu dilakukan oleh mahasiswa institusi pengajian tinggi awam (IPTA), maka hampir pasti semua yang terbabit dengan demonstrasi itu dibuang atau sekurang-kurangnya digantung pengajian oleh pihak universiti. Terlalu banyak kes yang boleh dijadikan contoh.

Terdapat mahasiswa IPTA yang digantung pengajian kerana didakwa berkempen membantu pihak pembangkang dalam pilihanraya. Kesalahan tersebut dirujukkan kepada Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU). Namun jika terdapat mahasiswa yang berkempen menyokong BN, maka AUKU ini tidak terpakai untuk mereka. Amalan dua piawaian penguatkuasaan undang-undang ala Aparteid ini sudah lama diamalkan di Malaysia dalam banyak perkara.

Demonstrasi yang diadakan oleh para pelajar Insaniah itu bukanlah perhimpunan haram sebenarnya. Mereka memohon kebenaran dari pihak universiti untuk mengadakan majlis dialog antara pelajar dan pihak pentadbiran. Rektor Insaniah membenarkan, malah beliau sendiri turun untuk mendengar keluhan mahasiswa.

Antara isu yang dibangkitkan oleh mahasiswa ialah kenaikan yuran secara mendadak dan membebankan pelajar. Pihak pengurusan pula tidak pernah memberi penjelasan terperinci melalui pekeliling bertulis mahupun melalui hebahan umum. Keseluruhan mahasiswa serta ibu bapa kerap tertanya-tanya mengenai rasional kenaikan tersebut.

Jika pada semester satu 2009 pentadbiran hanya mengenakan yuran aktiviti RM50.00 dan perubatan RM10.00 kepada pelajar tetapi pada semester dua 2010 telah bertukar kepada yuran Ko-kurikulum RM150.00 dan yuran pentadbiran RM255.00.

Walaupun yuran dinaikkan tetapi perkhidmatan yang diberikan oleh pihak universiti tidak memuaskan. Mereka mengambil beberapa contoh seperti tiadanya kemudahan WiFi di kampus, buku rujukan yang kurang, perkhidmatan pinjaman buku yang masih kurang memuaskan, pengurangan peruntukan kewangan untuk program-program pelajar dan pelbagai lagi masalah yang timbul.

Mahasiswa juga tidak berpuashati dengan kenaikan harga bagi setiap jam kredit. Hal ini merujuk kepada kenaikan harga yang dikenakan kepada pelajar-pelajar fakulti muamalat. Sebagai contoh jurusan Ijazah Sarjana Muda Kewangan dan Perbankan Islam dan jurusan Ijazah Sarjana Muda Pengurusan Perniagaan telah berlaku kenaikan harga kepada RM 150.00 bagi setiap satu jam kredit.

Hal ini, telah menimbulkan satu tanda tanya yang besar terhadap sejauhmanakah kenaikan ini relevan? Kenaikan ini langsung tidak mendatangkan sebarang perubahan kepada sistem pengajian pelajar dan tidak ada satu pemakluman yang jelas serta tidak terperinci.

Implikasi besar terhadap kenaikan yuran ialah bebanan hidup yang ditanggung oleh mereka. Terdapat beberapa orang mahasiswa yang terpaksa berlapar selama beberapa bulan akibat wang sara diri yang terhad khususnya mahasiswa antarabangsa.

Apabila dikaji, didapati bahawa kekangan kos ini berlaku akibat tiada pinjaman luar yang diperolehi dan hanya bergantung daripada pendapatan keluarga. Manakala bagi pelajar Malaysia pula, baki wang pinjaman yang diperolehi oleh pelajar tersebut terlalu kecil setelah digunakan untuk membayar yuran pengajian. Selain daripada bayaran yuran pengajian, baki pinjaman juga terpaksa digunakan oleh mahasiswa untuk membeli keperluan akademik seperti buku, alat tulis, dan keperluan yang lain. Akhirnya mahasiswa yang kesempitan ini terpaksa menjadikan mi segera sebagai hidangan rutin walaupun mengetahui risiko lain.

Terdapat juga mahasiswa yang telah berkerja untuk mencari sumber pendapatan bagi menampung keperluan hidup. Keputusan ini diambil atas desakan kadar yuran yang tinggi dan sumber kewangan yang tidak mencukupi. Natijahnya, mahasiswa yang kurang bernasib baik ini terpaksa melewatkan tempoh tamat pengajian dan menyebabkan perancangan jangka masa pendek mereka sedikit terganggu. Dan timbulnya masalah-masalah sosial pelajar di luar kampus yang secara tidak langsung memberi kesan buruk kepada imej universiti.

Semua itu adalah antara isu yang terkandung dalam memorandum yang diserahkan kepada pihak pentadbir Insaniah. Apa yang dibangkitkan itu adalah perkara yang boleh ditangani oleh pihak pentadbir universiti. Cuma mungkin akibat tersalah memberi keutamaan maka pihak atasan terlepas pandang untuk memberi fokus kepada isu kebajikan pelajar.

Demonstari pelajar Insaniah itu bukanlah agenda untuk menyanggahi kerajaan negeri tetapi hanya untuk membetulkan pentadbiran dalaman universiti jika terdapat kelemahan. Apabila Menteri Besar menyatakan sokongan terhadap tindakan pelajar berdemonstrasi maka pihak pembangkang di Kedah eloklah beralih kepada isu lain untuk dibuat modal politik.

2 orang mengarut:

  1. Anonymous said...:

    Hang tau dak, beberapa pelajar telah dibuang dan pensyarah terlibat telah diturunkan pangkat.

  1. asyraf said...:

    plajaq mna?
    gtaulah....

Post a Comment